Tuesday, 23 September 2014
Posts by : Admin
Integriti
Nilai, Etika, Integriti
PENJELASAN
Nilai, Etika dan Integriti adalah tiga kata kunci terpenting yang mendasari PIN perlu diperjelaskan.
NILAI
Satu set pegangan yang menjadi asas bagi pembentukan sikap dan kelakuan individu. Set pegangan ini menentukan kriteria perlakuan yang baik atau sebaliknya, yang diingini atau tidak dan positif atau negatif.
\
ETIKA
Etika ialah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesyen.
1. Etika Individu
Etika individu ialah himpunan nilai pada diri individu yang membimbingnya dalam membezakan antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang patut dan boleh dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan. Pemilihan antara perkara-perkara ini sentiasa berlaku semasa menjalankan tugas, dalam kehidupan sehari-hari, ataupun apabila berinteraksi dengan pihak lain.
2. Etika Organisasi
Bagi yang bekerja dalam sesebuah organisasi, etika organisasi menjadi garis panduan baginya menjalankan tugas, seperti perlu berpegang pada nilai bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil. Oleh sebab organisasi berurusan dengan orang ramai, maka etika organisasi juga menuntut penjawat itu mematuhi Piagam Pelanggan.
3. Etika Profesyen
Etika profesyen ialah kod yang menggariskan apa yang harus dibuat dan tidak harus dibuat oleh pengamal profesyen berkenaan. Antara profesyen yang mempunyai kod etikanya termasuk kedoktoran, kehakiman, undang-undang, perakaunan, kewartawanan dan perguruan. Misalnya, seorang doktor atau hakim terikat dengan etika profesyen yang dipraktikkannya. Seorang editor, pengarang atau wartawan pula perlu berpegang pada etika kewartawanan dalam penyebaran maklumat melalui media. Begitu juga seorang guru mesti mematuhi etika perguruan.
INTEGRITI
Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.
1. Integriti Individu
Integriti individu ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan tidak berintegriti atau lemah integritinya.
2. Integriti Organisasi
Selain individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi tercermin dalam perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.
3. Integriti Penjawat Awam
Bagi individu yang memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan awam, integriti bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan kepada pihak lain.
Kesimpulan
Pembudayaan etika dan integriti individu harus melalui satu proses seumur hidup. Ia melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan media massa. Pembudayaan etika dan integriti dalam organisasi pula, menuntut kepimpinan bertindak sebagai teladan (role model) manakala anggota lain menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Organisasi juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Ia perlu mempunyai sistem dan prosedur yang baik bagi melicinkan pelaksanaan tugasnya secara cekap, teratur, dan tepat, di samping mempunyai sistem kawalan kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan itu perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab kepada Tuhannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment